Media News

Oil Palm Plantation Investment Holdings

Kutipan zakat di Pahang meningkat


15 Jan, 2020
Sinar Harian

PKUANTAN - Kutipan zakat harta di Pahang meningkat kepada RM142 juta pada tahun lalu berbanding RM131.5 juta tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak RM10.5 juta atau lapan peratus.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, walaupun kutipan itu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan namun bilangan pembayar zakat telah meningkat sebanyak 4.5 peratus.

"Saya dapati bilangan pembayar zakat meningkat daripada 85,810 kepada 89,728 orang pada tahun lalu.

"Bagi kutipan zakat tidak mencapai sasaran itu, saya dapati ia disebabkan proses pelaksanaan penguatkuasaan Enakmen Zakat yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya," titah baginda dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan majlis serahan zakat badan korporat di Istana Abdulaziz di sini semalam.

Pada program itu, Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menerima serahan zakat perniagaan daripada 10 agensi korporat dengan nilai keseluruhan RM9.44 juta.

FGV Holdings Berhad menjadi agensi paling tinggi membuat pembayaran zakat perniagaan iaitu RM2.12 juta diikuti Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (RM2 juta), Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) (RM1.32 juta), Tenaga Nasional Berhad (TNB) (RM1.03 juta) dan Risda (RM876,303).

Lima lagi agensi yang membuat pembayaran zakat perniagaan ialah Bank Pembangunan Malaysia Berhad sebanyak RM700,000, Far East Holdings Berhad (RM600,000), FELCRA Berhad Wilayah Pahang (RM435,937), Telekom Malaysia Berhad (RM207,480) dan Radicare Group Of Companies (RM143,702).

Tengku Hassanal bertitah, kutipan zakat perlu dipertingkatkan bagi membolehkan agihan zakat dapat diperluaskan.

"Dengan keadaan ekonomi yang mula bertambah baik, khususnya harga kelapa sawit berada dalam trend menaik, maka kutipan zakat yang meningkat secara langsung atau tidak dengan keadaan ini dijangka turut menaik.

"Peningkatan dalam kutipan zakat akan memberikan impak secara langsung kepada penerima bantuan zakat iaitu agihan akan dapat diperluaskan lagi," titah baginda.

Baginda bertitah, pihak Muip melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM145 juta pada tahun ini. (Artikel ini dikeluarkan di Sinar Harian Online pada 15 Januari 2020 dan ditulis oleh Norazwani)